Saturday, May 12, 2012

MASA TETAP BERJALAN..SAMA KITA KEJAR ATAU TIDAK...KESABARAN ITU PENTING...IA IBU ILMU DAN SEPARUH DARI IMAN...

Sukat dosa guna lilin

PENGIKUT Ajaran Ibu Puteri kononnya boleh mengetahui dosa mereka dengan hanya membakar lilin. - Gambar hiasan


SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini memantau penyebaran satu ajaran sesat yang dipercayai mengenakan bayaran kepada para pengikut untuk mengukur tahap keimanan masing-masing serta menghapuskan dosa dengan sekadar membakar lilin.
Ajaran sesat ini yang dipanggil Ajaran Ibu Puteri dipercayai didalangi oleh seorang individu bergelar Datuk sejak tahun 2007.
Lelaki itu bagaimanapun telah meninggal dunia tahun lalu, namun ajarannya terus berkembang.
Pihak berkuasa setakat ini mengesan kewujudan ajaran tersebut di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang seperti Shah Alam, Puchong dan Petaling Jaya.
Apa yang mengejutkan, ajaran sesat ini turut disertai imam, jemaah haji dan umrah.
Seorang bekas pengikut ajaran itu yang dikenali sebagai Pak Ungku, 50, menceritakan, mereka kebiasaannya membakar lilin di dalam pinggan berisi air.
Katanya, jika kesan cairan lilin itu banyak, maka individu tersebut didakwa mempunyai banyak dosa.
Seterusnya, nama individu itu akan dimasukkan dalam satu senarai untuk upacara berasingan bagi menghapuskan dosa dan sesi pengampunan yang dilakukan oleh pengikut kanan ajaran berkenaan.

3 maut dalam nahas awal pagi


SEBAHAGIAN daripada mangsa menunggu rawatan selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Seremban semalam.


SEREMBAN - Sepasang suami isteri antara tiga korban nahas jalan raya membabitkan tiga buah bas ekspres serta dua buah lori dalam kejadian berasingan di Kilometer 258.8, Lebuh Raya Utara- Selatan dekat sini serta Jalan Kuala Kangsar-Gerik awal pagi semalam.
Kedua-dua nahas itu juga mengakibatkan 94 orang yang menaiki ketiga-tiga bas tersebut cedera, termasuk dua mangsa mengalami cedera parah.
Kejadian pertama berlaku kira- kira pukul 2.58 pagi semalam apabila sebuah bas yang membawa 44 penumpang menuju ke Batu Pahat, terlanggar belakang sebuah treler di lebuh raya berkenaan.
Ia disusuli dengan bas itu dilanggar pula dari belakang oleh sebuah lagi bas yang mengekorinya dengan membawa 40 penumpang menuju ke Melaka.
Nahas tersebut menyebabkan seorang warga emas, Roha Dol, 79, dari Batu Pahat yang duduk di kerusi barisan empat belakang pemandu cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.
Seorang mangsa, Samika Salim, 55, berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat selepas menghadiri perhimpunan raksasa sambutan ulang tahun UMNO ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.
"Saya dan ramai penumpang lain sedang tidur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.
"Ada yang menjerit, melaungkan Allahuakbar! manakala beberapa orang penumpang panik cuba keluar daripada bas," ceritanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar di sini semalam.

Nikah beramai-ramai


SEBAHAGIAN pasangan pengantin yang menyertai Program Selangkah Ke Alam Perkahwinan 2012 di Putrajaya semalam.


DETIK MANIS. Sebanyak 20 pasangan selamat dinikahkan secara beramai-ramai sempena program Selangkah Ke Alam Perkahwinan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin Putrajaya semalam.
Kesemua pasangan pengantin muda itu dinikahkan oleh lapan jurunikah bertauliah daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang turut disaksikan oleh kaum keluarga masing-masing.Majlis anjuran Yayasan Patriotik Bangsa itu bertujuan menyemai keinginan golongan muda untuk berkahwin awal, sekali gus mengelakkan maksiat dengan setiap pasangan yang menyertai program itu hanya perlu membayar RM5,000. Bayaran itu bagi membiayai pakej penginapan hotel dua hari satu malam, sesi fotografi, kad jemputan sebanyak 150 keping, tajaan pakaian dan solekan serta jamuan untuk 300 tetamu berserta cenderamata bagi setiap pasangan.

Pecah rekod himpunan teleskop terbanyak

KUALA LUMPUR – Acara himpunan teleskop terbanyak dalam segmen Junior World dan Candy Island bakal memecah rekod Malaysia Book of Records sempena Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya pada 26 Mei ini.
Pada acara tersebut, peserta segmen berkenaan akan mengumpulkan teleskop di samping melakukan pencerapan secara serentak di kawasan lapang belakang Istana Kehakiman, Putrajaya pada pukul 8 malam.
Pengarah Urusan Double Road Care Sdn. Bhd., Noraini Ishak berkata, rekod terdahulu telah dicatatkan oleh Kelab Astronomi Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2005 yang berjaya mengumpul sebanyak 138 teleskop.
Menurutnya, pihaknya yang mendapatkerjasama daripada Kelab Astronomi USM serta Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan mengumpul sebanyak 300 teleskop bagi memecahkan rekod sedia ada.

Pecut punca kemalangan maut

MIRI - Sikap masyarakat yang suka 'pecut maut' tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan kes kemalangan maut di negara ini.
Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan kurangnya sikap timbang rasa dan berhemah dalam kalangan pemandu.
"Sarawak mencatat peningkatan kes kemalangan maut sebanyak 15 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Peratusan ini mewakili peningkatan 15 kes berbanding 78 kes direkodkan dari 1 Januari hingga 31 April 2011," katanya selepas mengadakan sesi dialog bersama ketua bahagian ketenteraman awam/ketua trafik daerah, pegawai dan penolong pegawai penyiasat trafik dari seluruh Sarawak di sini kelmarin.
Justeru, katanya, masyarakat perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan kadar kes kemalangan maut.
Katanya, polis trafik akan meningkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang di jalan raya tetapi ia tidak akan berjaya jika tidak mendapat kerjasama pengguna.

Bekas abang ipar aktres Dreamgirls bersalah kes bunuh

KELUARGA dan rakan Jennifer Hudson meninggalkan bilik perbicaraan Mahkamah Jenayah Daerah Cook di Chicago kelmarin.


CHICAGO, Amerika Syarikat (AS) – William Balfour yang merupakan bekas abang ipar bintang filem Dreamgirls, Jennifer Hudson (gambar) didapati bersalah membunuh ibu mertua, adik lelaki dan anak saudara aktres berkenaan.
Balfour boleh dipenjara seumur hidup kerana jenayah tersebut.
“Ini pembunuhan kejam tanpa rasa kasihan terhadap tiga orang termasuk seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang baru pulang dari sekolah,” kata pendakwa raya, Attorney Anita Alvarez kelmarin.
“Kami amat berpuas hati dengan keputusan juri,” tambahnya.
Balfour, 31, dituduh menembak mati ibu Hudson, Darnell Donerson, 57, adik lelakinya, Jason Hudson, 29, dan anak saudaranya, Julian King pada Oktober 2008.
Balfour turut menyembunyikan mayat anak tirinya untuk menutup jenayah tersebut.
Pihak pendakwa raya menyatakan, Balfour meluru ke rumah keluarga Hudson di sini dan menembak mati semua penghuninya dengan sepucuk pistol selepas bertengkar dengan isterinya, Julia.
Wanita itu bercerai selepas pembunuhan tersebut berlaku.
Ketika kejadian, kakak Hudson itu terselamat kerana berada di tempat kerja.
Setibanya dia di rumah, Julia terkejut melihat ibunya yang sudah tidak bernyawa, terbaring berlumuran darah di lantai.
Dengan spontan, dia berlari keluar untuk menghubungi pihak polis tanpa menyedari adik lelakinya, Jason juga sudah mati manakala anaknya pula hilang.
Mayat Julian ditemui di dalam kenderaan utiliti sukan milik Jason yang ditinggalkan di kawasan bandar raya ini, tiga hari selepas kejadian.
Pendakwa raya memberitahu, Balfour membawa Julian keluar dan menembak mati anak tirinya di dalam kenderaan SUV tersebut.
Dalam pada itu, Hudson, 30, dan Julia tidak dapat menahan sebak apabila seorang juri membacakan keputusan kes tersebut.
“Kami menerima sokongan dan kasih sayang daripada orang ramai di seluruh dunia sepanjang perbicaraan selama 14 hari ini dan kami amat berterima kasih,” kata Julia.
Terdahulu, pihak peguam bela Balfour berhujah bahawa mangsa mungkin dibunuh oleh sindiket dadah ekoran Jason pernah terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.
Hudson, 30, terkenal selepas menjadi finalis program pencarian bakat nyanyian popular, American Idol pada tahun 2005. – AFP

Kamera Leica termahal di dunia


AFP kamera Leica siri O.


VIENNA, Austria – Sebuah kamera prototaip Leica buatan 1923 dijual pada harga 2.16 juta euro (RM8.57 juta) dalam satu lelongan di sini sekali gus mencatat rekod baharu kamera paling mahal di dunia.
Kamera prototaip Leica siri O berkenaan dibeli oleh seorang pembida misteri semalam.
Cuma 25 buah kamera siri O dihasilkan bagi menguji pasaran kamera lensa 35 milimeter sebelum pengeluaran secara besar-besaran dibuat pada 1925.
Rekod sebelum ini dicatat pada tahun lalu juga oleh sebuah kamera siri O.
Kamera berkenaan dijual pada harga 1.32 juta euro (RM4.05 juta) manakala lelongan pertama kamera siri O pada 2007 cuma meraih 336,000 euro (RM1.03 juta). – AFP

No comments:

Post a Comment